Skip to main content

PROGRAM SULAM & KTP FKMP -  KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA: DARI KELAS KE KERJAYA

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM dengan kerjasama Sekolah Menengah Sains Batu Pahat telah berjaya menganjurkan program "Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Dari Kelas Ke Kerjaya" pada 18 Mei 2024. Program ini disertai oleh 45 murid-murid Tingkatan 5, melibatkan sesi ceramah interaktif, kajian kes di industri dan penilaian Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) di kawasan sekolah.

 

Program ini merupakan salah satu usaha UTHM untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti menerusi inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) dan Knowledge Transfer Program (KTP). Seramai 29 orang pelajar tahun 2 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) telah terlibat dalam pelaksanaan inisiatif SULAM ini serta berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana dan fasilitator program. Seorang staf akademik FKMP iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Musli bin Mohammad terlibat dalam perlaksanaan inisiatif KTP ini dan berperanan sebagai penceramah program.

 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Puan Zaleha binti Yaacob, Pengetua Sekolah Menengah Sains Batu Pahat; Puan Narima binti Sahuri, Penolong Kanan Pentadbiran; Dr. Salihuddin bin Md Suhari, dan guru-guru yang turut hadir ke program ini serta memberikan kerjasama yang amat baik dalam menjayakan program ini.

 

Selepas program ini dijalankan, para peserta program telah memperoleh pengetahuan mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kesedaran mereka tentang hazard/bahaya di tempat kerja dan sekolah telah meningkat, dan mereka kini memahami serta mampu mengaplikasikan kemahiran menilai risiko seperti HIRARC. Peserta program dapat mengenal pasti dan mengurus risiko dengan lebih berkesan, serta lebih yakin dalam mengambil langkah-langkah keselamatan. Selain itu, mereka juga didedahkan kepada pelbagai peluang kerjaya berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Peningkatan pengetahuan dan kemahiran ini turut merubah sikap mereka, dengan meningkatkan rasa tanggungjawab mereka terhadap keselamatan diri dan orang lain.

 

Pelajar-pelajar UTHM pula dapat mengaplikasikan teori keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam situasi sebenar, di mana pengetahuan mengenai pengurusan risiko dan kaedah HIRARC diaplikasikan dalam komuniti sekolah. Pengalaman ini tidak hanya meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, dan membuat keputusan mereka, tetapi juga membantu melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dalam pasaran kerja. Selain itu, mereka juga mendapat peluang untuk berinteraksi dengan komuniti sekolah, memahami cabaran sebenar yang dihadapi dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan, serta menyumbang kepada peningkatan kesedaran keselamatan dalam masyarakat.

#UTHMPrihatin #sulamfkmp