Skip to main content

Pasukan UTHM menang Anugerah Kehormat Antarabangsa di Jerman

#UTHMnews I 23 Jun 2020. Pasukan Wave terdiri daripada pelajar dan pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili Malaysia telah memenangi Anugerah Kehormat Antarabangsa dalam pertandingan Makethon, horizonteOWL, Jerman yang diadakan pada 27 Mei hingga 5 Jun lalu.

Team Wave yang terdiri daripada Seah Choon Sen, Low Cheng Yee, Yee Jing Ye, Ubaidullah Muhammad dan Farah Roslan mendapat perhatian juri apabila mereka berjaya memperkenalkan konsep kad ahli untuk memudahkan golongan warga emas dan pelanggan membuat pembayaran tanpa menggunakan telefon pintar sambil mengekalkan konsep tidak bersentuhan.

Di pasaraya, juruwang adalah barisan hadapan yang perlu bertemu dengan pelanggan secara langsung. Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko mendapat jangkitan virus melalui sentuhan. Dengan memperkenalkan perisian POS baru, mesin pengimbas harga yang sedia ada dapat diubah menjadi kaunter pembayaran sementara juruwang dapat berfungsi sebagai orang yang memasukkan data untuk rujukan pasaraya.

Menurut Seah kad ahli ini dapat mengelakkan pelanggan beratur dalam barisan yang panjang semasa mahu membuat pembayaran sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Kami menggantikan tugas juruwang dengan teknologi, tetapi tidak bermaksud khidmat mereka tidak diperlukan lagi kerana mereka boleh melakukan kerja-kerja lain di pasaraya tersebut seperti merekodkan data dan melayani pelanggan," katanya.
Sementara itu, Farah Roslan pula berkata konsep kad ahli ini amat mudah kerana kita sebagai pelanggan hanya perlu mengimbas di mesin pengimbas yang sedia ada dan secara automatiknya barang yang telah diimbas itu akan direkod ke dalam kad ahli yang telah didaftar.

“Jika mesin pengimbas tersebut penuh digunakan oleh pelanggan, kita tetap ada pilihan lain iaitu dengan menggunakan aplikasi di telefon bimbit untuk mengimbas barang yang hendak dibeli itu.

“Dengan konsep sebegini, kita bukan sahaja boleh mengelakkan long queue semasa di kaunter pembayaran malah mampu mempercepatkan proses pembayaran serta mengurangkan interaksi antara pelanggan dan juruwang,” jelasnya lagi.

Tambah Farah, inovasi ini merupakan inisiatif dan matlamat utama pasukan mereka bagi mengelakkan risiko menjangkiti virus Covid-19 daripada terus merebak.

Untuk rekod lebih 200 peserta mengambil bahagian dalam 15 kategori yang dipertandingkan, yang kesemuanya berkaitan dengan norma baharu yang terhasil daripada bawaan Covid-19. Pertandingan ini juga memberi peluang kepada para peserta yang terpilih untuk memohon projek dengan pembiayaan sehingga 1 juta euro di bawah terma dan syarat OWL yang bertindak sebagai penganjur.

Pertandingan ini melibatkan tiga anugerah iaitu anugerah Juara, Anugerah Kehormat Antarabangsa dan Anugerah Kehormat Bakat Muda bagi memberi penghargaan kepada pasukan yang berjaya. Juara makethon telah dimenangi oleh ServiceNavigator dari Jerman.

#UTHMjohor
#UTHMproducesprofessionals
#kamiUTHM

competition

  • Created on .