Skip to main content

MISI KEMBARA EVEREST BASE CAMP 2018

 

 

JOHOR BAHRU, 19 Sept 2018 - Hanya dengan tempoh setahun persediaan, sekumpulan pelajar dan seorang pensyarah muda dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, mencipta rekod dengan mengadakan kelas di paras ketinggian 5,550 meter dari paras laut di Puncak Gunung Kalapathar, Nepal, tiga hari lepas (Ahad).

Lebih manis lagi, kejayaan itu dilakarkan pada Hari Malaysia dengan bendera Malaysia dan bendera  UTHM dikibarkan, sekali gus menjadi pengalaman manis bagi kumpulan itu, yang mengharungi  cabaran  selama 10 hari sebelum sampai di Kem Dasar Tertinggi Everest (EBC) itu.

Menceritakan pengalamannya mengajar di Kem Dasar Everest itu, Dr Nur Kamilah Yusuf berkata beliau mengajar subjek Jurutera dan Masyarakat ketika berada di ketinggian itu yang membawa dua jam kredit. “Kami berada di EBC selama tiga jam bagi sesi kuliah dan misi kibaran bendera."

“Misi menawan EBC merupakan hadiah paling bermakna yang ingin kami berikan kepada UTHM dalam usaha untuk meningkatkan lagi imej dan visibiliti universiti ini di mata dunia,” katanya.

Meskipun mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan misi itu, ditambah pula dengan halangan cuaca dan bentuk muka bumi yang pelbagai, semua cabaran tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi sehingga berjaya, jelas pensyarah berusia 30 tahun itu, yang juga termuda mempunyai PhD di fakultinya.

“Cabaran paling ketara yang terpaksa kami tempuh adalah apabila berhadapan dengan hujan dan angin yang kuat serta suhu sejuk yang mencecah sehingga dua darjah Celsius di sebelah siang manakala malamnya pula sehingga -10 darjah Celsius,” katanya lagi.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik itu berkata sebelum itu, bagi persediaan menghadapi pendakian sukar itu, mereka turut berpeluang menakluk tiga gunung beraltitud tinggi iaitu Gunung Semeru  dan Gunung Kerinci (Indonesia) dan Gunung Kinabalu (Sabah).

“From zero to hero” adalah moto pasukan kami kerana para pelajar ini terdiri daripada bukan pendaki. Untuk memantapkan lagi ilmu pendakian, kami turut mendapat bimbingan khas dari bekas pendaki Everest iaitu Ahmad Reduan dan isterinya, Roslizawati,” tambahnya yang baru sahaja tiba di bandar Lukla, semalam.

Selain Nur Kamilah, tujuh pelajar yang turut berjaya dalam misi tersebut terdiri daripada Atiq Saifullah Lokman Hakim, 21; Khairul Firdaus Mohd Talib, 21; Putra Nur Addin Abdullah, 21; Kevin Kee Chie Huong, 22; Ham Wen Jun, 22; Muhammad Hazman Hanafi, 21; dan N. Sashven, 21--  kesemuanya merupakan   pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan. - Bernama

(Dipetik dari sumber Sinar Harian Online: http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-antarabangsa/kelas-di-everest-uthm-cipta-rekod-1.881555)

 

 

student life, activity, Everest

  • Created on .