5 Oktober jadi sambutan Hari Akademia
Artikel asal : Berita Harian Online
NOR IDAYU BOSRO
20 September 2019 2:18 PM
Gambar hiasan
PUTRAJAYA - Tarikh 5 Oktober setiap tahun akan diiktiraf sebagai Hari Akademia sebagai menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah di negara ini.
Ia merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (ILK) dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, perkara itu telah mendapat persetujuan kabinet menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September lalu.
Menurutnya, kemuncak kepada sambutan Hari Akademia ialah penganjuran Anugerah Akademik Negara (AAN) yang merupakan anugerah tertinggi dalam menghargai peranan dan sumbangan penting kakitangan akademik di Malaysia.
"Secara umumnya, tarikh 5 Oktober ini dipilih berasaskan kepada sambutan Hari Guru Sedunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Maszlee, Kementerian Pendidikan (KPM) juga memutuskan bahawa bulan Oktober akan diperkenalkan sebagai Bulan Akademia bagi menyemarakkan lagi sambutan hari tersebut.
"KPM memutuskan untuk bulan Oktober diperkenalkan sebagai Bulan Akademia dengan pelbagai program wacana dan intelektual bakal diperhebatkan sepanjang bulan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Maszlee berkata, KPM komited dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti hebat dan sentiasa berusaha gigih ke arah melahirkan ahli akademik bertaraf dunia. - K! ONLINE
- Created on .