Skip to main content

Aplikasi E-skrol atasi ijazah palsu

20 September 2019 7:27 PM

 
PUTRAJAYA 20 Sept. - Ijazah yang dikeluarkan institusi pengajian tinggi di Malaysia kini boleh disahkan keasliannya dengan mudah menerusi aplikasi e-skrol yang berasaskan teknologi blockchain.
Sesiapa sahaja dari seluruh dunia boleh mengetahui data mengenai graduan universiti di Malaysia termasuklah nama, transkrip penuh semester pengajian, tarikh graduasi dan kelas ijazah yang diperoleh dengan memuat turun aplikasi e-skrol dan mengimbas kod QR.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam ucapannya pada majlis menandatangani dokumen menerima pakai platform e-skrol menggunakan blockchain untuk ijazah graduan di sini hari ini berkata, isu sijil palsu memberi impak negatif kepada sistem pendidikan tinggi negara.

“Ada individu tertentu dengan niat tidak baik menumpang reputasi universiti awam Malaysia untuk meningkatkan profil diri masing-masing dengan mempamerkan sijil-sijil palsu. Saya percaya aplikasi blockchain boleh mengubah keadaan ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Siti Hamisah ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, kumpulan pertama graduan Malaysia yang menggunakan aplikasi e-skrol ialah graduan pasca-siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Oktober 2018.

“Kini penggunaan aplikasi e-skrol diperluas kepada semua universiti awam dan seterusnya institusi pengajian tinggi swasta,” katanya.

Sebelum penggunaan e-skrol, katanya, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menerima secara purata 100 panggilan setiap dua minggu dari luar negara terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom termasuk syarikat multinasional yang ingin memeriksa kesahihan maklumat mana-mana individu yang mengaku mereka adalah graduan dari sebuah daripada universiti di Malaysia.

“JPT sebelum ini terpaksa menghubungi universiti terlibat bagi memeriksa sama ada individu berkenaan pernah menjadi pelajar di sana,” katanya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya menyatakan kira-kira 260,000 graduan ijazah dilahirkan dalam setahun dari universiti awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara dan yang akan menggunakan aplikasi e-skrol.

Syarikat konsortium universiti, UniDLT adalah pelaksana dalam penggunaan teknologi blockchain dengan CyberSecurity Malaysia sebagai rakan kongsi. - BERNAMA

  • Created on .