Skip to main content

Kursus ijazah di MTUN bukti kemampuan graduan KV

Artikel asal : Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Foto hiasan

 

MAHASISWA Kolej Vokasional (KV) tentunya boleh menarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2020, baru-baru ini apabila Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelajar yang menamatkan pengajian di KV bermula tahun depan.

Perkhabaran gembira ini menangkis laporan media sebelum ini yang menyatakan graduan KV tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda biarpun mempunyai Diploma Vokasional Malaysia (DVM) kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit dek gagal memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jika sebelum ini pelajar KV mungkin tercari-cari ke manakah hala tuju selepas tamat pengajian peringkat diploma, namun kini sudah ada laluan khas disediakan kerajaan untuk membolehkan mereka memohon melanjutkan pengajian di universiti di bawah MTUN.

Antaranya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pada masa sama, mereka juga boleh memohon menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain di seluruh negara.

Bagi penulis, platform disediakan kerajaan ini bukanlah bererti laluan atau jaminan mudah untuk melayakkan lepasan KV ini diterima memasuki universiti terbabit, sebaliknya ada kriteria penting yang mesti dipenuhi, terutama bagi menjamin kualiti graduan yang bakal dihasilkan nanti.

Tidak dinafikan dengan memiliki ijazah, graduan KV bukan sahaja dapat menerokai peluang pekerjaan lebih luas, bahkan boleh meminta gaji bersesuaian dan setimpal dengan kemahiran dimiliki daripada pihak majikan.

Memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dalam laporan media baru-baru ini, menyatakan kira-kira 97 peratus graduan KV berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh lima bulan selepas tamat pengajian.

Hal ini jelas membuktikan institusi pengajian itu berada pada landasan tepat ke arah mendokong hasrat kerajaan bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi. Umum sedia maklum seiring Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) kini, landskap pembelajaran dan pekerjaan kian berubah mengikut perkembangan semasa, apatah lagi industri kini lebih menumpukan pekerja yang memiliki kemahiran pelbagai dan mampu membuat banyak kerja pada satu masa.

Bagi penulis, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pelajar, universiti mahupun industri untuk bersama-sama berganding bahu melengkapi antara satu sama lain serta memastikan segala aspek penting ini dapat dipenuhi, khususnya dalam mengekang situasi lambakan graduan menganggur.

Jika melihat kepada pertambahan agihan dana pendidikan sebanyak RM200 juta atau RM5.9 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 berbanding peruntukan RM5.7 bilion tahun ini, ia jelas mempamerkan kesungguhan kerajaan memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Penulis yakin MTUN pastinya mampu merealisasikan tanggungjawab diamanahkan ini dengan baik apatah lagi melihat kepada pencapaian, kualiti dan kebolehpasaran graduan dihasilkan saban tahun, bahkan sering menjadi buruan industri tempatan mahupun antarabangsa.

Melihat kepada penawaran program Sarjana Muda Teknologi yang sudah mula dilaksana di kebanyakan universiti penyedia TVET sejak bulan lalu, penulis melihat ia sebagai pencapaian bersejarah seterusnya menjadi mercu tanda penting dalam melengkapkan lagi ekosistem TVET di Malaysia.

Difahamkan program Sarjana Muda Teknologi MTUN akan menjadi program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran amali bagi mengiktiraf kemahiran aliran TVET sejajar agenda pemerkasaannya.

 

Penulis adalah wartawan Varsiti BH Vertikal Pendidikan NSTP

TVET, Politeknik, MTUN

  • Created on .