Skip to main content

Biadab! Graduan protes di pentas konvo

Sinar Harian | Diterbitkan pada Oktober 15, 2019 08:19 MYT



Graduan protes di pentas majlis istiadat konvokesyen tular di media sosial. Foto Sinar Harian / Twitter Hazwan Syafiq


TINDAKAN nekad seorang graduan sebuah universiti tempatan menjerit dan menunjukkan tanda protes sejurus selepas menerima skrol ijazah sarjana muda dalam majlis istiadat konvokesyen mengundang kecaman daripada netizen.

Menerusi perkongsian video di Twitter Hazwan Syafiq, rakaman durasi 14 saat itu memaparkan seorang lelaki menjerit sambil memegang kertas melaungkan "undur VC" dan "ini tanah Malaysia" tular di media sosial.

Ciap Hazwan, tindakan itu sangat memalukan kerana ia adalah majlis rasmi selain dihadiri oleh tetamu kehormat dan ibu bapa.

"Tahu darah amarah, tapi pilih protes atas pentas, menjerit sambil angkat plakad mana kesopanan dan kesusilaan kau?

"Sudahlah tanpa segan silu beraksi di tengah-tengah pentas," ciapnya.

Pada ruangan komen, pemilik akaun Muzzashark menulis, "tak guna belajar tinggi-tinggi kalau tak tahu sejarah Tanah Melayu."

Selain itu, Zai Hazreen, berharap agar pihak pengurusan universiti menyekat ijazah sarjana mudanya selagi graduan itu tidak meminta maaf.

Sementara itu, ujar Mr D, "tak ada adat, hari ini, orang bebas melakukan apa sahaja hanya untuk menyampaikan mesej yang tidak seberapa bila ada lagi ruang lain yang lebih baik untuk menyampaikan. Sedih, graduan tanpa akhlak"

Untuk rekod, kesatuan mahasiswa Universiti Malaya menggesa Naib Canselor universiti itu, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu, pada 6 Oktober lepas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut memberi perhatian kepada isu ini dengan menyatakan pertemuan antara kedua-dua belah pihak adalah lebih baik berbanding menyelesaikan isu itu dengan membuat kenyataan kepada media.

"Mereka boleh suarakan rasa tidak puas hati terus kepada Naib Canselor (Dr Abdul Rahim) dan saya percaya beliau (Abdul Rahim) seorang yang berfikiran terbuka dan akan mendengar apa yang pelajar mahu suarakan," katanya.

  • Created on .