Skip to main content

Dasar pendidikan universiti negara

Atikel asal : Utusan Malaysia

IBRAHIM KOMOO
25 Februari 2019 12:00 PM


MAJLIS Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sedang meneliti sistem pendidikan kebangsaan sebelum memberikan nasihat kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

 
Mereka berhasrat mendapat maklum balas pelbagai pihak berkepentingan sebelum memutuskan nasihat paling berkesan untuk meminda dasar pendidikan negara.

Terdapat tiga bentuk pendidikan perlu diberikan perhatian iaitu Pendidikan Sekolah, Pendidikan Kemahiran atau Vokasional, dan Pendidikan Universiti.

Walaupun ketiga-tiga bentuk pendidikan mempunyai hubungan rapat, saya berhasrat untuk memberikan pandangan berkaitan dasar dan strategi pendidikan universiti sahaja.


Amalan dan budaya pendidikan universiti negara hanya bermula pada awal tahun 1970-an dan berkembang pesat dalam tempuh kurang 50 tahun.

Dalam masa singkat ia dipengaruhi pendidikan universiti di United Kingdom, dan secara beransur-ansur pengaruh budaya universiti di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Eropah pula meresap masuk ke sistem universiti tempatan.

Ini disebabkan ramai ahli akademik universiti awam dididik di sana dan apabila mengurus universiti, ia mulai mempengaruhi perkembangan sistem pendidikan universiti negara.

Dalam sedekad terakhir ini pula, universiti tempatan dihantui oleh budaya ranking dan petunjuk prestasi utama (KPI) ala korporat yang kononnya mewakili maksud pendidikan bertanggungjawab dan cemerlang.

Universiti pada prinsipnya mewakili institusi pendidikan tinggi negara, mengamalkan nilai teras akademik, simbol keilmuwan dan kesarjanaan, serta pembekal sumber manusia pakar atau berkemahiran tinggi.

Hari ini, kita melihat universiti tempatan lebih bersifat penyedia tenaga kerja mahir sahaja. Hala tuju universiti banyak dipengaruhi mimpi ahli politik kenegerian, kawalan pegawai kanan kerajaan dan tuntutan keterlaluan agensi swasta.

Universiti cemerlang dikawal tiga faktor utama iaitu, ahli akademik berbudaya cemerlang, pelajar berkualiti dan pemimpin akademik berwibawa.

Ahli akademik ialah pemimpin kebijaksanaan daripada kelompok masyarakat yang cintakan ilmu. Setiap ahli akademik mempunyai kepakaran tersendiri, bersifat ghairah terhadap ilmu, dan berkemahiran tinggi dalam penyelidikan, penulisan dan memberi syarahan.

Mereka mengamalkan etika ademik menekankan iltizam mencari kebenaran, menghasilkan sumbangan cemerlang, berkongsi ilmu dan menghormati kepelbagaian pandangan.

 
Oleh itu, dasar terpenting untuk universiti tempatan ialah membangun dan menghargai ahli akademik bertaraf global. Setiap seorang pelajar yang menjejaki kaki ke universiti ialah mereka yang berminat dengan ilmu dan sanggup berkorban untuk meneroka ilmu.

Selain layak berasaskan kelulusan akademik, beberapa syarat tambahan perlu ditentukan universiti, bergantung kepada aspirasi keilmuan masing-masing.

Oleh itu, permohonan untuk ke universiti perlu diurus setiap universiti dan kriteria kemasukan meliputi menyediakan karangan atau ujian khusus dan temuduga bagi menilai sikap dan kesediaan sebagai siswazah seperti dilakukan banyak universiti terkemuka dunia.

Faktor terpenting kecemerlangan universiti ialah memiliki kepimpinan akademik berwibawa dan berpengalaman, khususnya untuk jawatan Naib Canselor, Dekan Pusat Pengajian dan Pengarah Pusat Penyelidikan.

Wibawa bermaksud kepakaran dan kesarjanaan diakui oleh rakan kesepakaran, ahli akademik keserakanan dan pihak berkepentingan, sementara berpengalaman ialah calon pernah menjalankan tanggungjawab pengurusan akademik dan terbukti pencapaiannya.

Jelasnya, calon Naib Canselor perlu daripada kalangan Timbalan Naib Canselor, Dekan atau Pengarah yang terbukti pencapaiannya. Pemilihan pula perlu telus dan dibuat sebuah institusi bebas.

Selain itu tiga faktor asas berupaya memacu dan membina budaya cemerlang universiti ialah:

l Seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman atau Kementerian Kewangan, institusi universiti ialah institusi berkaitan kerajaan dan masyarakat. Universiti berperanan sebagai gedung dan penjana ilmu baharu, tempat berkumpulnya para sarjana dan bijak pandai negara, dan tempat pendidikan kepakaran (ilmu) dan kemahiran tinggi dilaksanakan.

Universiti ialah pusat perkhidmatan berkaitan ilmu, bukan institusi perniagaan. Perkhidmatan ilmu untuk semua warga merupakan kewajiban utama.

l Universiti ialah tempat idea baharu diterokai, kepelbagaian ilmu dicari dan dirungkai, pemimpin berwibawa dihasilkan, dan teknologi watan dikembangkan. Usaha ini memerlukan sokongan dan kepercayaan tinggi kerajaan dan masyarakat.

Oleh itu, universiti perlu berautonomi dengan sokongan kewangan berterusan. Ringkasnya, universiti ialah pelaburan jangka panjang memaju negara dan membina ketamadunan bangsa.

* Jangan jadikan universiti milik persendirian, milik negeri atau satu kelompok bangsa tertentu. Universiti ialah gedung ilmu bersifat universal, peranannya mencari kebenaran, mempertahankanetika, mengejar kecemerlangan dan institusi yang meraikan kepelbagaian.

Universiti perlu berkembang dengan berfikiran global dan bertindak lokal. Saya bawa kembali semangat dan aspirasi pewujudkan institusi pengajian tinggi bergelar universiti kerana situasi semasa menunjukkan ia sudah menyimpang jauh daripada wawasan asal.

Universiti secara tabii peneraju pembaharuan dan perubahan, tetapi perlu pertahan sifat dan nilai teras iaitu institusi pencinta ilmu.

Kita ingin melihat universiti pendahulu zaman, menyumbang kepada kemajuan negara melalui hasilan ilmu baharu, pemimpin negara berwibawa dengan teknologi canggih, tapi bukan sebagai kilang menghasilkan sumber manusia mahir dan teknologi yang hanya mengikuti zaman.

Datuk Ibrahim Komoo ialah Felo Penyelidik Utama, Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

halatuju, universiti

  • Created on .