Skip to main content

Sanggup keluar duit sendiri jadi doktor

Atikel asal : Berita Harian Online
Oleh Ilah Hafiz Aziz
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 

KUALA LUMPUR: Sesetengah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di beberapa universiti luar negara, walaupun tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

 

BH difahamkan, lepasan SPM perlu mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritificate (NOC) daripada Kementerian Pendidikan, sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan itu di luar negara, namun ada yang tidak memohon sijil itu kerana tak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

 

Untuk layak mendapatkan SSLN, calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya gred B bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia dalam SPM.

 

Bagaimanapun, ada kalangan pelajar perubatan Malaysia di universiti luar negara dikatakan menggunakan jalan pintas, iaitu terus ke pusat pengajian tinggi berkenaan, tanpa SSLN disebabkan tidak memenuhi syarat gred ditetapkan.

 

Ada antara calon hanya memperoleh B bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan, serta C atau D bagi Fizik, Biologi dan Kimia, namun dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di luar negara.

 

SSLN dan keputusan SPM antara syarat ditetapkan kerajaan bagi melayakkan lepasan jurusan perubatan, menjalani latihan amali atau housemanship di hospital di negara ini.

 

Menurut sumber, lepasan jurusan perubatan yang tidak menggunakan SSLN, didakwa akan mengambil semula SPM bagi subjek yang mereka tidak memenuhi syarat, untuk memperbaiki syarat minimum ditetapkan.

 

 

Ejen tertentu dikatakan bergerak aktif ’merekrut‛ pelajar seawal mereka memperoleh keputusan SPM dengan janjikan pelbagai tawaran menarik, termasuk penerimaan kemasukan daripada universiti asing walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan. - Foto hiasan
 

“Walaupun kaedah ‘jalan pintas’ itu tidak dilarang kerana mereka sudah memperoleh ijazah perubatan, isu berkenaan boleh memberi imej buruk kepada pengamal perubatan di negara ini.

 

“Ia membawa mesej pelajar tidak perlu cemerlang dalam SPM untuk menjadi pegawai perubatan, kerana mereka yang gagal memenuhi syarat kelayakan minimum bagi mendapatkan SSLN juga boleh bergelar doktor,” kata sumber berkenaan.

 

Katanya, mereka yang tidak memenuhi syarat minimum itu biasanya memilih pusat pengajian tinggi di luar negara, yang menawarkan sistem pembelajaran lebih terbuka, kurang bebanan dalam pengajian serta tidak banyak mensyaratkan latihan amali perubatan.

 

Sumber itu berkata, antara destinasi pilihan adalah Russia yang lima universiti utamanya diiktiraf Kerajaan Malaysia, untuk kursus perubatan serta beberapa kursus lain seperti kejuruteraan dan sains marin.

 

Tidak hairanlah, katanya, jumlah pelajar Malaysia yang mengikuti jurusan perubatan di negara berkenaan meningkat setiap tahun, walaupun kerajaan memperketatkan prosedur pembiayaan pendidikan sejak 2013.

 


 

Beliau tidak menafikan ada kalangan pelajar Malaysia biayaan sendiri yang cemerlang SPM dan layak mengikuti kursus perubatan, namun ada juga tidak memenuhi syarat ditetapkan kerajaan dan menggunakan taktik itu untuk menjadi doktor.

 

“Kelayakan sememangnya ketat, iaitu perlu cemerlang lima subjek Sains dan Metamatik peringkat SPM untuk jadi doktor di Malaysia, tetapi ada hanya cemerlang satu, dua subjek sahaja.

 

“Bila ditanya kenapa berani belajar kursus perubatan yang sukar dengan pekerjaan mencabar, ada yang kata hanya mahu status ‘Dr’ pada pangkal nama.

 

“Mereka tahu tidak akan dibenar menjalani latihan amali atau housemanship di hospital kerajaan di Malaysia tanpa SSLN.

 

“Jadi, ketika cuti atau selepas tamat universiti, mereka akan ambil semula SPM untuk subjek yang ditetapkan dalam SSLN.

 

“Ia menunjukkan peraturan dalam sistem pendidikan dan perubatan negara seperti mudah dimanipulasi.

“Kita khuatir jika perkara ini dibiarkan, maka ramai lagi yang berbuat demikian.

 

“Bayangkan jika kelayakan menjadi seorang doktor diragui, ia bakal memberi kesan besar bukan sahaja terhadap industri perubatan negara, malah kepada rakyat Malaysia yang mengharapkan rawatan kesihatan terbaik,” katanya.

 

Sementara itu, BH cuba menghubungi Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Datuk Dr Mohd Khairi Yakub untuk mengulas isu ini, namun tidak berjaya.

 


 

Pegawai media Kementerian Pendidikan ketika dihubungi pula berkata, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan memberi maklum balas selepas ini.

 

50 peratus pelajar kita di Russia tak penuhi syarat minimum


 

Kira-kira 50 peratus pelajar kursus perubatan di universiti terkemuka di Russia, didakwa tidak memenuhi syarat minimum untuk mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritificate (NOC) daripada Kementerian Pendidikan.

 

Perkara itu didedahkan beberapa pelajar dan bekas pelajar kursus berkenaan di negara terbabit yang memaklumkan, kebanyakan mereka dalam kelompok itu datang ke Russia atas perbelanjaan sendiri.

 

Pelajar tajaan MARA yang hanya mahu dikenali sebagai Diana berkata, mereka yang tidak memenuhi kelulusan minimum SSLN semakin ramai belajar di universiti di Russia, khususnya apabila pelajar tajaan semakin berkurangan.

 

“Beberapa tahun lalu, tidak ramai pelajar perubatan dari Malaysia di luar negara datang dengan peruntukan sendiri, mereka juga tidak terlalu menonjol.

 

“Kebelakangan ini, terutama sejak MARA menghentikan tajaan pada 2013 dan pelajar tajaannya ramai sudah tamat belajar, jumlah pelajar dari negara kita yang datang dengan perbelanjaan sendiri semakin bertambah.

 

“Hampir 50 peratus daripada jumlah pelajar biayaan sendiri dari Malaysia di Russia ketika ini, dipercayai tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

 

“Ada yang hanya peroleh B bagi Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

 

Bekas pelajar tajaan MARA yang hanya mahu dikenali sebagai Sofea mendakwa, dia mempunyai rakan yang tidak memenuhi kelulusan minimum SSLN, tetapi meneruskan pengajian perubatan di universiti di Russia.

 

“Saya terkejut ada yang gagal mencapai keputusan cemerlang subjek Matematik Tambahan atau Fizik, ada juga cuba menyorokkan keputusan,” katanya.

 

Sementara itu, seorang pelajar dari Malaysia yang mengikuti jurusan perubatan di sebuah universiti di Russia dengan biaya sendiri, mengakui perkara itu turut memberi kesan kepadanya.

 

“Ramai anggap belajar perubatan di Russia mudah, ramai ke negara itu meskipun dari segi akedemik mereka tidak layak.

 

“Ramai rakan saya hanya lulus ala kadar bagi subjek teras untuk mengikuti kursus perubatan.

 

“Saya juga dianggap seperti itu kerana belajar dengan tanggungan ibu bapa, sedangkan sukar dapat biasiswa walaupun keputusan SPM saya cemerlang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi.

perubatan, manipulasi, penipuan

  • Created on .