Skip to main content

‘MDI Disposable Inhaler Spacer’ ciptaan sukarelawan UTHM bantu pernafasan pesakit

Batu Pahat, 30 Apr – Melihat kepada senario wabak Covid-19 yang berlaku, para sukarelawan daripada Pasukan Solusi Teknikal UTHM terpanggil untuk mencipta MDI Disposable Inhaler Spacer iaitu salah satu komponen pakai buang yang disambung pada alat utama penyedutan pernafasan (MDI inhaler) yang amat diperlukan oleh pesakit yang mempunyai masalah penafasan terutamanya kepada pesakit positif Covid-19 dan pesakit asthma.

Kebiasaannya pesakit yang mengalami simptom pernafasan akan diberi alat bantuan ‘nebulisers’, namun ia tidak dicadangkan penggunaannya memandangkan gejala jangkitan COVID yang melanda, oleh itu MDI spacer amat diperlukan.

Kebanyakan pesakit COVID-19 yang disaring di beberapa hospital mengalami kesukaran bernafas secara normal. Justeru itu, usaha untuk menghasilkan MDI Disposable Inhaler Spacer ini amatlah bertepatan dengan keperluan semasa. Alat ini merupakan alat pakai buang khas untuk kegunaan pesakit Covid-19 sekali gus berupaya mengelak risiko jangkitan kepada pesakit lain dan juga petugas kesihatan.

MDI Disposable Inhaler Spacer juga telah direka bentuk menggunakan perisian Solidwork dan prototaip serta dibangun dengan menggunakan mesin pencetakan 3 Dimensi (3D).

Ketua projek, Profesor Madya Dr. Norzelawati Asmuin berkata setelah perbincangan dibuat bersama pihak hospital, prototaip ini diuji dahulu secara teliti dan beberapa maklum balas positif telah diperolehi untuk pihaknya melakukan penambahbaikan.

Tambah beliau lagi setelah kedua-dua pihak berpuas hati, pihaknya telah menyiapkan dan menghantar sebanyak 700 unit MDI Disposable Inhlaler Spacer ke klinik dan hospital di kawasan Lembah Klang antaranya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut beliau juga, tugasan penghantaran ini adalah hasil kerjasama antara UTHM dengan Fuji DNDT Sdn. Bhd., dan melalui program perkhidmatan komuniti (CSR).

Pihaknya berharap penghasilan alat ini mampu menjadi titik tolak penerimaan orang ramai terhadap inovasi yang dibangunkan oleh universiti.

“Inisiatif yang diambil oleh pihak universiti ini diharap dapat membantu kerajaan Malaysia dan pihak hospital khususnya menangani kekurangan pelbagai peralatan perubatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari penularan wabak ini,” tambah Dr. Norzelawati.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang dan memutuskan rantaian Covid-19 bagi semua kluster yang telah dikenalpasti. Justeru itu, situasi ini menjadi peluang dan ruang kepada pasukan sukarelawan UTHM untuk menyumbang idea dan tenaga mencari jalan penyelesaian alternatif terhadap cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan. Terdahulu, mereka berjaya menghasilkan pelindung muka 3D, Kotak Intubasi khas dan boot cover untuk kegunaan pasukan barisan hadapan negara dalam menghadapi dugaan yang getir ini.

 

Pasukan ini diwakili oleh sukarelawan berikut:

  1. Prof. Dr. Shahruddin bin Mahzan @ Md Zin (Penaung)
  2. PM Dr. Norzelawati binti Asmuin (Ketua Projek)
  3. PM Dr Ahmad bin Jais (Koordinator Team UTHM)
  4. Dr Ishkrizat bin Taib (Ketua Teknikal)
  5. Dr Hanis bin Zakaria (Pengurusan Program)
  6. Azizan bin Ismail (IT Teknikal)
  7. Muhammad Faqhrurrazi bin Abd Rahman (Pembantu Teknikal 1)
  8. Riyadhatulsolehan bin Khairulfuaad (Pembantu Teknikal 2)
  9. Ts. Dr. Reazul Haq bin Abdul Haq (Tugas-tugas khas)
  10. Mohamad Hamdan bin Talib (Pembantu Teknikal 3)
  11. Mohamad Fahrul Nizam bin Suhaimi (Perekabentuk)

 

Sumber : Artikel asal

research, CSR

  • Created on .