Skip to main content

Kesatuan pelajar membawa autoriti dan akauntabiliti

Artikel asal : Sinar

 

"JIKA kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A

Lazimnya kita mendengar ungkapan tersebut yang boleh membawa pengertian secara langsung kepada nasib sesebuah negara.

Oleh itu, pemerkasaan mahasiswa amatlah penting pada hari ini bagi memberi impak yang signifikan kepada pembangunan negara kelak.

Memahami akan kepentingan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pelbagai polisi dan inisiatif bagi memberdayakan 1.3 juta mahasiswa di seluruh negara.

Kesatuan Pelajar (KP), inisiatif yang tidak lagi asing di dalam landskap pendidikan tinggi negara. Mahasiswa diberikan kebebasan menguruskan hal ehwal mereka sendiri di samping terlibat secara langsung dalam tadbir urus universiti.

Transformasi ini bukan bermaksud menafikan segala usaha dan sumbangan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam selama ini terhadap pembangunan mahasiswa.

Tetapi ia adalah suatu anjakan paradigma yang seiring dengan kecekapan teknologi dan kematangan belia pada hari ini.

Antara autoriti yang diberikan kepada KP iaitu pertimbangan permohonan aktiviti oleh kelab atau persatuan mahasiswa, akses penuh kepada pengurusan kewangan mahasiswa, melaksanakan Pilihan Raya Kampus serta mewakili mahasiswa di dalam mesyuarat penting universiti seperti Senat dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Namun, fasa perubahan ini memerlukan sokongan dan bimbingan Pejabat HEPA khususnya berkaitan peraturan dan prosedur yang berkuat kuasa.

Selain itu, kepercayaan juga menjadi tunggak utama apabila tanggung jawab yang digalas oleh Pejabat HEPA kini diberikan kepada KP.

KP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ialah KP pertama yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 23 Oktober 2019 dan berjaya didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Keupayaan UIAM membuktikan kejayaan hubungan dinamik antara mahasiswa pihak pengurusan UIAM di dalam peralihan autoriti dan akauntabiliti.

KPM juga telah memansuhkan Seksyen 15 (2) (c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang seterusnya membenarkan pemimpin politik dijemput untuk mengikuti program wacana, forum, ceramah dan sebagainya di dalam kampus.

Beberapa barisan pemimpin politik daripada pelbagai parti seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan telah dijemput oleh universiti sebagai panel forum, perasmi program, penceramah dan sebagainya. Kepelbagaian ini menunjukkan keterbukaan universiti dalam sistem demokrasi dan politik.

Dalam keghairahan mencapai kebebasan bersuara, satu perkara perlu diingat bahawa autoriti datang bersama akauntabiliti. Peningkatan tahap kecekapan, ketelusan dan integriti mahasiswa di dalam pengurusan organisasi KP merupakan jangkaan hasil oleh masyarakat umum mahupun mahasiswa itu sendiri.

Tambahan pula, penglibatan pemimpin politik akan mengembangkan lagi budaya perbincangan yang lebih sihat dan berintelektual di dalam kampus.


Pengaruh politik sememangnya boleh memberi kesan positif mahupun negatif. Justeru, pemimpin politik seharusnya menghormati universiti sebagai sebuah institusi percambahan idea yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Tiada tempat bagi mana-mana pihak untuk menyebarkan sebarang fahaman yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan individu mahupun komuniti.

Inisiatif lain bagi memperkasakan mahasiswa adalah menerusi libat sama mahasiswa di dalam proses pembuatan keputusan universiti. Sehingga kini, seramai 43 mahasiswa telah dilantik sebagai wakil mahasiswa di dalam Senat di 20 Universiti Awam.

Senat secara dasarnya merupakan autoriti tertinggi yang membincangkan hal ehwal akademik universiti berkenaan. Sebagaimana termaktub di dalam Jadual Pertama Akta 30, Para 17 (1A) menyatakan bahawa Senat boleh dari semasa ke semasa mengundang mana-mana orang, termasuk mana-mana pelajar untuk menghadiri mesyuarat Senat.

Usaha pemerkasaan mahasiswa ini amat mustahak terutamanya bagi menghapuskan budaya 3K iaitu kuliah, kafe dan katil. Mahasiswa pada usia belia amat bernilai untuk mencerap ilmu dan mencurah bakti kepada pembangunan sosial.

Di universiti juga menjadi tempat untuk melengkapkan diri dengan kemahiran kebolehpasaran graduan dan adaptasi terhadap revolusi teknologi.

Galakan penggunaan sudut berpidato, melaksanakan Pilihan Raya Kampus oleh mahasiswa seterusnya menguruskan aktiviti kelab atau persatuan sendiri menjadi tapak latihan mahasiswa ke arah pemimpin berkaliber.

Justeru, mahasiswa perlu didedahkan dengan ekosistem pendidikan sebenar. Sokongan dan bimbingan pihak pengurusan universiti akan memberi nilai tambah kepada mahasiswa. Manakala mahasiswa menjadi entiti semak dan seimbang kepada penyampaian perkhidmatan universiti.

Besar harapan KPM supaya mahasiswa hari ini menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan negara pada masa hadapan. Seiring dengan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 iaitu Universiti untuk Masyarakat.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/59320/BERITA/Nasional/Kesatuan-pelajar-membawa-autoriti-dan-akauntabiliti
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

  • Created on .