Skip to main content

75 juta kerja bakal pupus

Artikel asal : Harian Metro

Salman HamatAmir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan dan Mahaizura Abd Malik
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 

MENJELANG 2022, dianggarkan 133 juta jenis pekerjaan di dunia akan berubah menjadi pekerjaan baharu manakala 75 juta lagi akan pupus akibat perkembangan teknologi.

Dapatan itu diperoleh hasil Laporan Pekerjaan Masa Hadapan 2018 yang dirumuskan World Economic Forum dalam persidangannya di Switzerland tahun lalu.

Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, dapatan itu menunjukkan 10 pekerjaan terbaharu bakal mengambil alih pasaran kerja dunia menggantikan 10 lagi pekerjaan semasa atau bakal pupus.

“Pekerjaan baharu ini merujuk kepada kerja sedia ada dan akan menjadi pekerjaan kritikal atau penting pada masa hadapan manakala pekerjaan pupus merujuk kepada kerja semasa tetapi permintaan atau kepentingan semakin berkurangan.

 


 
“Kebanyakan pekerjaan bakal pupus membabitkan kerja rutin seperti perkeranian, pentadbiran serta pekerja pemasangan dan kilang merangkumi kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit.

“Pekerjaan yang bakal mengambil alih pasaran pula adalah jenis kerja berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), digital, robotik dan teknologi baharu.

“Kesan dan trend ini akan dilalui semua rantaian pasaran kerja dunia bukan hanya di Malaysia saja,” katanya.


Katanya, sejak 2015 ILMIA dan Talent Corporation bekerjasama membangunkan Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) di Malaysia untuk diguna pakai pihak berkepentingan dalam menambah baik sektor pekerjaan mengikut pasaran.

“Sebanyak 59 senarai pekerjaan kritikal dikenal pasti merangkumi 18 sektor yang memenuhi kriteria pekerja mahir, mempunyai permintaan dan strategik untuk pembangunan ekonomi.

“Antara contoh pekerjaan kritikal adalah pengurus pemasaran dan jualan, pengurus teknologi komunikasi dan maklumat, ahli matematik, jurutera mekanikal serta pereka grafik dan multimedia.

“Turut dikelaskan sebagai pekerjaan kritikal adalah penganalisis kewangan, profesional pendidikan tinggi serta pertanian dan industri mekanik dan pembaikan mesin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi kekerapan dan kualiti kajian berkaitan pasaran kerja termasuk membangunkan kemahiran untuk memenuhi permintaan majikan semasa dan pada masa hadapan.


“Sebagai contoh tahun depan, antara kajian yang akan kita laksanakan pekerjaan berasaskan hijau (Green Job) yang akan mencerminkan keperluan masa depan memandangkan kita peka dengan isu pemanasan global.

“Pekerjaan ini berhubung kait dengan rantaian pengeluaran panel solar dan pekerjaan tidak mengganggu kelestarian alam.

“Namun, sudah tentu kita berdepan cabaran apabila mahu mengubah Brown Job (kerja semasa) kepada Green Job.

“Ini semua akan kita rungkaikan dan cadangan akan dibentangkan kepada pihak berkaitan supaya pekerja dapat dipersiapkan dengan perubahan kemahiran bagi mengisi pekerjaan baharu itu,” katanya.


 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 10:00 AM

  • Created on .