Skip to main content

Belia menganggur masih tinggi walaupun graduan banyak

Artikel asal : Utusan Malaysia Online

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata walaupun negara memiliki jumlah graduan ijazah kelas pertama yang ramai, namun tahap pengangguran di kalangan belia juga didapati masih tinggi.

 
Sehubungan itu katanya, Kementerian Pendidikan mengalu-alukan kerjasama swasta-awam dalam membantu para graduan kekal relevan terhadap pasaran kerja dengan membekalkan mereka kemahiran yang tepat.


“Malaysia menghasilkan jumlah belia berpelajaran yang ramai, namun menurut penyelidikan Khazanah, pengangguran di kalangan belia kekal meningkat dengan ketara daripada 9.94 peratus pada tahun 2011 kepada 10.92 peratus pada 2018,” katanya semasa melancarkan program KPM-Celcom Siswapreneur@Google Bootcamp 2019 di sini hari ini.

Katanya beliau percaya dengan membekalkan para graduan ini dengan kemahiran digital yang tepat menerusi kerjasama awam-swasta, jurang kemahiran dan ilmu pengetahuan ini boleh diatasi, sekaligus membantu para belia.

 
“Khususnya program KPM-Celcom Siswapreneur ini, adalah contoh Perkongsian Awam-Swasta bagi membangunkan usahawan digital di kalangan komuniti Institusi Pengajian Tinggi dan membekalkan para graduan dengan kemahiran pemasaran digital, selaras dengan aspirasi negara ke arah mewujudkan ekonomi digital yang kukuh,” katanya.

Maszlee seterusnya berharap Celcom akan sanggup melebarkan perkongsiannya dengan kementerian dalam tempoh jangka masa panjang, di samping menyokong usaha bagi mewujudkan graduan yang beretika, berkualiti tinggi, dan berkemahiran.

Program KPM-Celcom Siswapreneur@Google Bootcamp 2019 hari ini dan esok merupakan program jangka pendek yang menghimpunkan lebih 250 graduan tempatan dari 40 universiti, politeknik, kolej; awam dan swasta di seluruh negara.

Ini merupakan kali kedua program itu diadakan hasil kerjasama antara pihak kementerian dengan Celcom yang wujud sejak 2016, dengan sasaran mewujudkan minat, membangun dan mengukuhkan minda usahawan di kalangan para pelajar, menyemai serta memupuk kemahiran, di samping melahirkan lebih ramai usahawan digital.

Program hari ini menyaksikan empat universiti tempatan - University Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Malaysia Sarawak, dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, menandatangani memorandum persefahaman bagi menyertai 17 lagi universiti yang sudah pun terlibat dengan KPM-Celcom Siswapreneur. - BERNAMA

jobs opportunity, employability

  • Created on .