UMT dan UniSZA setuju gabung

Hanneeyzah Bariah Baharin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini, bersetuju secara prinsip dengan penggabungan dua universiti itu, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 4 September lalu.

Dalam kenyataan bersama Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Kuala Terengganu, pagi ini, kedua-dua universiti bersetuju secara prinsip dengan penggabungan itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

 
“UMT dan UniSZA menerima surat bertarikh 20 September 2019 daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 4 September 2019 dan bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

 
“Keputusan berkenaan juga adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri terdahulu pada 5 April lalu yang mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia mengkaji cadangan supaya UMT digabungkan dengan UniSZA yang berdekatan.

 
“Kami mengambil maklum Konsep Gabungan Sepenuhnya yang dicadangkan oleh kerajaan dengan hasrat untuk memaksimumkan penggunaan sumber melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada.

“Hal ini bertujuan, untuk memperkasakan lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua universiti, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat, seterusnya melonjakkan prestasi atau pencapaian ke tahap yang lebih cemerlang di peringkat global, “ kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, menjadi harapan UMT dan UniSZA supaya penggabungan itu akan dapat melonjakkan bidang tujahan utama UMT seperti Marin, Maritim, Oseanografi dan Perikanan serta bidang tujahan utama UniSZA iaitu pengajian Islam dan perubatan ke peringkat global.

“Di samping itu, bidang ilmu lain di kedua-dua institusi ini turut diperkasakan terutama daripada segi kualiti dan pencapaian prestasi sama ada melalui penjajaran program akademik dan strategi

pengantarabangsaan.

“Integrasi dan kepelbagaian bidang yang berlainan, seperti kejuruteraan, sains serta sains sosial di antara kedua-dua institusi ini dilihat mampu melahirkan graduan holistik dan memperkasakan kebolehpasaran graduan.

“UMT dan UniSZA akan mengemukakan cadangan pelaksanaan penggabungan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bermula dengan bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi pada hari ini dan esok (26 dan 27 Sept) untuk pertimbangan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:21 AM

universiti

  • Created on .
Faculty of Mechanical and Manufacturing Engineering, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor, Malaysia

Tel: +6074537700   ||   Fax: +6074536080

FKMP 2019© Copyright Reserved