Struktur semula pengajaran dan pembelajaran UA

Artikel asal : Berita Harian

Oleh Ilah Hafiz Aziz
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

KUALA LUMPUR: Proses pengajaran dan pembelajaran di universiti awam (UA) akan distruktur semula agar selaras dan relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

 

Penstrukturan semula itu antara lain akan menyaksikan program akademik tidak lagi memberi tumpuan kepada pengajian teori semata-mata, sebaliknya lebih bertumpu kepada kemahiran dan keupayaan graduan, manakala kaedah pengajaran oleh pensyarah akan dinilai semula.

 
BH difahamkan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam proses menjayakan penambahbaikan berkenaan, termasuk inisiatif membawa masuk kira-kira 30 peratus kepakaran dari industri sebagai tenaga pengajar di setiap universiti dalam bidang berkaitan.

 

Syor lain ialah sesetengah program akademik di UA mengamalkan konsep pengajian dalam industri untuk memastikan graduan bukan setakat bergantung kepada kerja makan gaji, malah akan turut berupaya berdikari dengan menjadi usahawan.

 

Tempoh latihan amali graduan juga akan dipanjangkan menjadi enam bulan hingga setahun, berbanding purata 10 minggu ketika ini bagi memastikan mereka mampu menyerap kemahiran yang dipelajari sepanjang menjalani proses praktikal dengan lebih berkesan.

 

Diminta mengulas perkembangan itu, Ketua Pengarah JPT, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir mengesahkan pihaknya sedang melihat keperluan bagi memastikan graduan yang dilahirkan UA, mampu memenuhi aspirasi semasa.

 

Katanya, penstrukturan semula program akademik di UA perlu dilakukan segera kerana universiti hari ini bukan sekadar tempat mengeluarkan pelajar berilmiah semata-mata, tetapi graduan juga harus mampu menyumbang kepada masyarakat.

 

“Pembelajaran menekankan teori semata-mata perlu dilihat semula supaya graduan dihasilkan, mampu penuhi aspirasi semasa. Konsep universiti untuk masyarakat seperti disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dilaksana sepenuhnya, iaitu memastikan graduan mempunyai hubung kait dengan industri.

 

“Pengajian secara teori di universiti perlu dikurang dan diseimbangkan dengan pengajaran dan kemahiran lebih relevan dengan keperluan semasa. Dengan itu, nanti tidak lagi hanya berpandukan teori, sebaliknya ada keupayaan menyelesaikan masalah, sekali gus memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

 

BH semalam melaporkan sebanyak 38 program akademik di 19 UA seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan masa depan, termasuk tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

 

Mengenai inisiatif membawa masuk tenaga pengajar dari industri ke dalam UA, Siti Hamisah berkata, JPT sedang merangka program untuk tujuan berkenaan bagi memberi nilai tambah kepada program akademik berkaitan.

 

“Malah JPT akan memastikan kepakaran yang akan dibawa masuk dari pihak industri, bukan calang-calang, sebaliknya dari kalangan mereka yang bergelar ketua pegawai eksekutif,” katanya.

 

Bagi memperkasakan graduan Malaysia, katanya, JPT akan turut mengadaptasi sepenuhnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seperti progam akademik ‘Dua Tahun di Universiti, dan Dua Tahun dalam Industri’ (2U2I) yang sudah dimulakan beberapa universiti.

 

“Menerusi program ini, hanya sebahagian tempoh pengajian graduan di universiti, selebihnya mereka menimba ilmu di luar (bersama industri) dan seterusnya mengadaptasi kelebihan ini untuk menjadi usahawan,” katanya.

halatuju, universiti

  • Created on .
Faculty of Mechanical and Manufacturing Engineering, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor, Malaysia

Tel: +6074537700   ||   Fax: +6074536080

FKMP 2019© Copyright Reserved