Never Stop Learning

Imelda Billy

“Bukan cikgu ingat dengan saya pun, saya takda kerja sekarang.”

“Cikgu tak pernah mesej saya. Mentang-mentang saya tak sambung belajar.”

“Saya tak pandai, cikgu. Bukan macam mereka yang lain.”

Itulah antara mesej / ayat saya dapat dari beberapa orang bekas pelajar saya, maka tergerak hati saya untuk berkongsi sesuatu hari ini.

If you WERE or ARE my students or anybody’s students, please read this. Especially jika kamu rasa kamu adalah pelajar “bodoh”.

Kepada pelajar kelas “hujung” atau “pelajar lemah” yang cikgu pernah ajari dari hari pertama cikgu mendidik sampai ke saat ini, pertama sekali cikgu mohon maaf jika tindakan dan kata-kata cikgu pernah melukakan kamu. But I am not sorry for the things I did yang berniat hanya untuk mengajar / mendidik kamu. Ketahuilah oleh kamu bahawa cikgu tidak pernah dengan sengaja mahu memarahi kamu. Hari ini cikgu nak kamu tahu akan sesuatu yang cikgu rasa, kebanyakan guru lain turut sependapat dengan cikgu.

Jika kamu lemah dalam pelajaran, itu bukan lesen untuk kamu malas dan tidak mahu terlibat dalam aktiviti kelas.
Jika kamu tak pandai, itu bukan permit untuk kamu mengelak dari menulis dan mengira dalam kelas.
Jika kamu rasakan pendidikan tidak penting dan tak dapat mengubah jalan hidup kamu, itu bukanlah alasan untuk kamu hadir ke sekolah untuk tidur dan berbuat sesuka hati kamu termasuklah memperlekehkan para guru kamu.

Cikgu tidak marahkan orang bodoh, tak pandai atau buta huruf. Cikgu bukan marah kerana kamu miskin atau jelek, atau kekurangan kebolehan / tiada bakat dari pelbagai bidang. Kebanyakan guru pun begitu! Tapi, cikgu sangat marah apabila kamu sedar yang kamu kekurangan dan ketinggalan dalam banyak perkara, tetapi kamu malas berusaha dan langsung tidak mahu berbuat apa-apa untuk memperbaiki hidup kamu dan keluarga!!

Pelbagai cara cikgu cuba untuk mengambil hati kamu, atau untuk membuatkan kamu faham dengan mudah. Walaupun ada kalanya kamu herdik cikgu kerana “bagi latihan budak sekolah rendah”, atau cikgu “guna banyak kartun/gambar warna warni.” Kamu fikirkan cikgu memperlekehkan kamu kerana menggunakan kaedah sebegitu dan kamu berasakan kamu layak dilayan seperti seorang pelajar sekolah menengah. Tetapi sebaliknya, jika cikgu sediakan nota, buat latihan, berbelanja hampir separuh gaji seorang guru beli kelengkapan lain untuk kamu belajar, kamu sia-siakan begitu sahaja! Kamu tidur, kamu bercakap dan yang paling mengecewakan, kamu koyakkan malahan biarkan kertas latihan kosong tidak dijawab!

Kamu tak sedar bahawa jika kamu BERUSAHA menjawab dan turut serta dalam pembelajaran, guru kamu sudah cukup gembira! Walaupun jawapan kamu salah, ejaan kamu ke laut dan sebutan kamu tidak betul, tetapi kerana kamu menunjukkan USAHA dalam kelas, itu sudah mampu membahagiakan guru kamu!

Kejayaan dalam akademik bagi setiap pelajar adalah misi kami, warga pendidik. Tetapi itu bukanlah FOKUS UTAMA dan niat sebenar kami. Terutamanya, saya.

Cikgu hargai jika murid cikgu, sedar akan kekurangan diri dan mahu berubah. Dan jika mahu berubah, berusahalah. Cikgu pasti tolong! Cikgu senang hati jika murid merendah diri dan merendah hati mahu belajar tentang sesuatu, dan cikgu akan lebih terdorong untuk memberikan yang lebih baik untuk kamu!

Jika cikgu tak sempat bantu kamu mahir membaca selepas tamat persekolahan kamu, cikgu akan bantu kamu mengenal beberapa perkataan penting supaya kamu dapat sekurang-kurangnya mengenal EXIT di kala kecemasan.
Jika cikgu tak dapat mengajar kamu mengira dengan pantas, cikgu akan usahakan kamu mengenal nombor asas supaya kamu tidak ditipu semasa berurusniaga di dunia luar.
Jika cikgu tidak bisa membuatkan kamu menulis, cikgu akan pastikan kamu pandai tulis nama kamu.
Jika cikgu gagal membuatkan kamu faham bahasa asing, cikgu akan pastikan dalam sehari kamu belajar satu perkataan dalam bahasa Inggeris.

Bukalah mata kamu! Kejayaan sebenar murid cikgu bukanlah pada berapa A dia dapat, universiti mana dia pergi ataupun kerja apa yang dia buat. Tetapi, apabila kamu bersama-sama cikgu berusaha untuk menimba sedikit ilmu semasa kamu berada di sekolah. Gunakanlah ilmu sedikit yang kita sama-sama tuai itu untuk kamu perbaiki hidup kamu suatu hari nanti. Itu sudah cukup membuatkan hati cikgu tersenyum.

Lahir sebagai seorang yang dungu itu tidak salah dan tidak memalukan. Namun, menyedari akan sesuatu itu salah / kurang DAN TIDAK MAHU BERBUAT APA-APA untuk mengubahnya, inilah BODOH SOMBONG YANG SEBENAR.

Dari seorang yang buta huruf, kamu sudah pandai membuat kerja pertukangan untuk dijual.
Dari seorang yang tidak pandai mengira, kamu sudah boleh membantu meringankan beban ibu bapa walaupun bekerja “biasa-biasa”.
Dari seorang yang sentiasa lambat menyiapkan kerja, kamu mahir mengandam pengantin dan buka bisnes sendiri.

Tiada yang lebih indah daripada USAHA.

Tiada yang lebih dibanggakan oleh setiap guru kamu daripada mengetahui kamu telah menjadi seorang yang BERGUNA untuk diri sendiri dan keluarga.

Maka,

Fahamilah yang cikgu tidak pernah membezakan setiap pelajar melalui tahap kebijakan atau kepandaian. Tetapi, cikgu menghormati kamu yang telah BERUSAHA dalam setiap perkara kamu buat. Cikgu memandang tinggi kamu yang telah merendahkan diri untuk NEKAD mahu memperbaiki diri sendiri.

Terima kasih kepada pelajar-pelajar cikgu yang selama ini memberikan kerjasama dan memahami niat cikgu semasa mengajar kamu. Terima kasih kerana yakin dan percaya pada cikgu. Terima kasih kerana mengajar dan menyedarkan cikgu bahawa inilah profesion idaman cikgu selama ini, bukannya arkitek atau doktor. Terima kasih kerana membenarkan cikgu membantu kamu mengubah diri kamu. Cikgu berbesar hati membantu kamu jika kamu bantu diri kamu sendiri terlebih dahulu.

Dan jika selama ini kamu fikir cikgu marah kamu / tidak mengendahkan kamu kerana kamu “bodoh”, “tiada kerja bagus” dan sebagainya, kamu silap.

Tumpahnya airmata kegembiraan cikgu ialah apabila mendapat khabar kamu telah berubah menjadi seorang yang LEBIH BAIK daripada kamu yang sebelumnya.

Manfaatkan setiap peluang pendidikan yang kamu dapat di sekolah, untuk kamu melangkah lebih jauh di “dunia sebenar nanti”.

Cliché as it sounds but, I love all my students.

Gambar sekadar hiasan.

#imelbeedoteducates

student life, motivation

  • Created on .
Faculty of Mechanical and Manufacturing Engineering, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor, Malaysia

Tel: +6074537700   ||   Fax: +6074536080

FKMP 2019© Copyright Reserved